Bayern Munich akhirnya mengeluarkan kenyataan tentang perbincangan mereka dengan pemain Maghribi, Noussair Mazraoui selepas pemain itu memuat naik post menyokong Palestin.

Di mana pemain itu menyatakan dia mahu keamanan dicapai di Palestin. Tindakan pemain itu membuatkan Bayern bengang kerana menurut Bayern, ianya tidak ubah seperti menyokong Hamas yang dilabel pengganas oleh mereka.

Mereka kesal kerana pemain itu seharusnya mewakili suara kelab mereka dalam memberikan pandangannya tentang konflik Israel-Palestin.

Bayern menegaskan, kenyataan pemain itu benar benar bercanggah dengan pendirian dan nilai kelab itu.

Bayern segera memberikan respon: “FC Bayern segera menghubungi Noussair Mazroui berikutan catatan Instagramnya pada hari Ahad.”

“Pemain itu kini berada di Afrika bersama pasukan kebangsaan Maghribi. Selepas kepulangannya, perbualan peribadi terperinci dengan pengurusan kelab di Munich akan diatur.”

“Walau apa sekalipun pun, semua orang, termasuk setiap pekerja dan setiap pemain, tahu apa nilai yang dipegang oleh FC Bayern.”

“Kami menyatakan ini secara terbuka dan tidak berbelah bahagi dalam satu post sejurus selepas serangan pengganas ke atas Israel.”

“Kami mengambil berat tentang rakan-rakan kami di Israel dan berdiri bersama Israel. Pada masa yang sama, kami berharap untuk wujud keamanan untuk semua orang di Timur Tengah.”

Bayern terus melancarkan siasatan dalaman ke atas pemain itu. Dan Mazraoui dikenakan penggantungan daripada berlatih bersama pasukan utama.

Kemudian hari ini Bayern mengeluarkan kenyataan rasmi berkata: “Bayern Munich di sini mahu menjelaskan butiran perbualan kami dengan Noussair Mazraoui minggu ini.”

“Post dia di Instagram telah menimbulkan perdebatan yang mempersoalkan tentang kaitannya dengan menyokong keganasan ke atas Israel, post itu lebih dua minggu lalu. Ia mengundang kecaman dan rasa tidak selesa.”

“Noussair Mazraoui telah memberikan jaminan kepada kami bahawa dia seorang pencinta keamanan dan dia menolak segala jenis kekejaman. Dia kesal dengan perbuatannya jika ada pihak yang tersinggung” tegas CEO Bayer,  Jan-Christian Dreesen.

“FC Bayern megutuk sekeras kerasnya serangan Hamas ke atas Israel. Sebagai tambahan, Noussair Mazraoui menyatakan dia mengecam semua jenis keganasan dan juga menentang semua organisasi pengganas.”

Bayern mengesahkan juga pemain itu masih komited kepada kelab mereka. Sambil menambah: “Kebencian dan perkara yang berkaitan tidak ada tempat dalam budaya politik di Jerman.”

“FC Bayern kekal berdiri di pihak komuniti Yahudi di Jerman dan berpihak kepada Israel. FC Bayern yakin bahawa bola sepak harus meningkatkan pengaruhnya dalam mengimbangi perbezaan budaya, terutama sekali dalam detik yang sukar ini.”

“Noussair Mazraoui masih kekal dalam skuad Bayern, cuma sekarang ini dia masih cedera, dialaminya ketika tugasan antarabangsa lalu.”